Sayyid Ahmad Zaini Dahlan

Semalam aku [abu zahrah] bersembang di warung kopi dengan seorang kenalan yang aku
kenali dari sebuah forum di internet. Kebetulan beliau tinggal berhampiran dengan rumahku. Dalam perbualan
tersebut beliau meminta aku untuk menulis mengenai seorang ulama yang bernama Sayyid Ahmad Zaini
Dahlan [gambar sebelah]. Katanya beliau mengetahui nama ulama ini melalui penulisan yang dibaca sahaja,
terutama apabila menyentuh pertembungan antara kaum Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan Wahabi, tetapi tidak
mengenali siapakah sebenarnya ulama ini. Aku sekadar mendiamkan diri, tak berani janji takut tidak terkotakan.
Maka bila kembali kerumah aku cuba mencari bahan mengenai ulama tersohor ini, demi untuk tidak
menghampakan kenalan baruku itu. Tulisan ini sebagai hadiah untuk beliau walaupun agak sukar bagiku.
Namun aku bersyukur sahabatku Ustaz Abu Muhammad, rupanya telah menulis mengenai ulama ini
sebelumnya diblog beliau Bahrus Shofa. Alhamdulillah, memudahkan aku. Lalu aku kumpul dan susun
semula tulisan tersebut dengan sedikit penambahan. [Sidi Abu Muhammad .. izinkan hamba ya] Semoga ianya
memberi manfaat kepada para pembaca.
Di kalangan penuntut ilmu dipondok atau pesantren, nama Sayyid Ahmad Zaini Dahlan sudah tidak asing lagi.
Namanya harum dan masyhur dikalangan mereka kerana sebahagian besar daripada sanad keilmuan para ulama
Nusantara (Malaysia, Indonesia dan Fathoni) bersambung kepada ulama besar ini. Dan di kalangan para ulama
ianya sangat terkenal sebagai ulama seorang pembela Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam pertembungan dengan
Wahabi. Ulama besar ini amat dimusuhi oleh puak Wahabi atau kaum muda[h]. Maka banyak fitnah yang
ditaburkan terhadap ulama besar ini agar orang-orang yang jahil macam kita menjauhinya.
Ulama besar inilah yang telah memberi perlindungan kepada Syaikh Rahmatullah bin Khalilurrahman al-
Kiranawi al-Hindi al-Utsmani (lahir 1226H/1811M, riwayat lain lahir Jumadil Awwal 1233H/9 Mac 1818M,
wafat malam Jumaat, 22 Ramadan 1308H/2 Mei 1891M) ketika diburu oleh penjajah British bahkan
memperkenalkan kepada pemerintah Makkah. Seterusnya memberi laluan untuk Syeikh Rahmatullah membuka
Madrasah Shaulatiyah.

Sayyid Ahmad Zaini Dahlan adalah merupakan seorang Syeikhul Islam, Mufti Haramain dan
Pembela Ahlus Sunnah Wal Jama`ah. Berasal dari titihan yang mulia, ahlul bait Rasulullah melalui susur-galur
Sayyiduna Hasan, cucu kesayangan Rasulullah. Berdasarkan kepada kitab “Taajul-A’raas”, juzuk 2,

mukasurat 702 karya al-Imam al-’Allaamah al-Bahr al-Fahhamah al-Habib ‘Ali bin Husain bin Muhammad bin
Husain bin Ja’faar al-’Aththaas. Nasabnya adalah seperti berikut:-
Al-Imam al-Ajal wal-Bahrul Akmal Faridu ‘Ashrihi wa Aawaanihi Syeikhul-Ilm wa Haamilu liwaaihi wa
Hafidzu Haditsin Nabi s.a.w. wa Kawakibu Sama-ihi, Ka’batul Muriidin wa Murabbis Saalikiin asy-Sayyid
Ahmad bin Zaini Dahlan bin Ahmad Dahlan bin ‘Utsman Dahlan bin Ni’matUllah bin ‘Abdur Rahman bin
Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Utsman bin ‘Athoya bin Faaris bin Musthofa bin Muhammad bin Ahmad bin
Zaini bin Qaadir bin ‘Abdul Wahhaab bin Muhammad bin ‘Abdur Razzaaq bin ‘Ali bin Ahmad bin Ahmad
(Mutsanna) bin Muhammad bin Zakariyya bin Yahya bin Muhammad bin Abi ‘Abdillah bin al-Hasan bin
Sayyidina ‘Abdul Qaadir al-Jilani, Sulthanul Awliya` bin Abi Sholeh Musa bin Janki Dausat Haq bin Yahya az-
Zaahid bin Muhammad bin Daud bin Muusa al-Juun bin ‘Abdullah al-Mahd bin al-Hasan al-Mutsanna bin al-
Hasan as-Sibth bin Sayyidinal-Imam ‘Ali & Sayyidatina Fathimah al-Batuul.

Menurut riwayat, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan lahir di Makkah pada 1232H/1816M. Selesai
menimba ilmu di kota kelahirannya, ia lantas dilantik menjadi mufti Mazhab Syafi‘i, merangkap Syeikh al-
Haram iaitu “pangkat” ulama tertinggi yang mengajar di Masjid al-Haram yang diangkat oleh Syeikh al-Islam
yang berkedudukan di Istanbul, Turki.
Beliau sangat masyhur, dan daripada kemasyhuran inilah maka beliau diberi pelbagai gelaran dan julukan
antaranya al-Imam al-Ajal (Imam pada waktunya), Bahrul Akmal (Lautan Kesempurnaan), Faridu ‘Ashrihi
wa Aawaanihi (Ketunggalan masa dan waktunya), Syeikhul-Ilm wa Haamilu liwaaihi (Syeikh Ilmu dan
Pembawa benderanya) Hafidzu Haditsin Nabi – Shallalahu ‘Alaihi wa Sallam – wa Kawakibu Sama-ihi
(Penghafal Hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam dan Bintang-bintang langitnya), Ka’batul Muriidin wa
Murabbis Saalikiin (Tumpuan para murid dan Pendidik para salik).
Murid beliau Sayyidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi [gambar atas – kanan] dalam “Nafahatur Rahman”
antara lain menulis:-
“Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan hafal al-Qur`an dengan baik dan menguasai 7 cara bacaan Qur`an (7 qiraah).
Beliau juga hafal kitab “asy-Syaathibiyyah” dan “al-Jazariyyah”, dua kitab yang sangat bermanfaat bagi pelajar
yang hendak mempelajari qiraah 7. Kerana cinta dan perhatiannya pada al-Qur`an, beliau memerintahkan
sejumlah qari untuk mengajar ilmu ini, beliau khuatir ilmu ini akan hilang jika tidak diajar terus.”

Murid-muridnya
Diantara ulama-ulama Nusantara yang pernah berguru dengan ulama besar ini ialah:-
· Kiyai Nawawi Banten
· Kiyai Muhammad bin Abdullah as-Shuhaimi
· Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathoni menurut satu riwayat
· Kiyai Muhammad Saleh Darat
· Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif bin Abdullah al-Minankabawi
· Sayyid Utsman Betawi
· Tuan Hussin Kedah
· Syeikh Ahmad Yunus Lingga,
· Sayyid Abdullah az-Zawawi, Mufti Syafiiyyah, Mekah,
· Datuk Hj Ahmad Ulama Brunei,
· Tok Wan Din, nama yang sebenar ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathoni,
· Syeikh Abdul Qadir al-Fathoni (Tok Bendang Daya II),
· Syeikh Abdul Hamid Kudus,
· Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri,
· Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi, Imam, Khatib dan Kadi Kuala Lumpur yang pertama,
· Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani,
· Syeikh Muhammad al-Fathoni bin Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdur Rahman bin ‘Utsman al-Fathoni
· Tuan Kisa-i’ Minankabawi [atau namanya Syeikh Muhammad Amrullah Tuanku Abdullah Saleh. Beliau
inilah yang melahirkan dua orang tokoh besar di dunia Melayu. Yang seorang ialah anak beliau sendiri,
Dr. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah. Dan yang seorang lagi ialah cucu beliau, Syeikh Abdul Malik
Karim Amrullah (HAMKA)]
· Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh)
· Syeikh Utsman Sarawak [gambar bawah – kanan]
· Syeikh Abdul Wahab Rokan dan ramai lagi.

Selain itu ramai ulama di Nusantara yang bersambung sanad keilmuan mereka kepada
murid kepada Sayyid Ahmad Zaini Dahlan iaitu Sayyid Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi dan Syeikh Ahmad al-Fathoni. Bahkan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathoni juga merupakan murid kepada Sayyid Abu

Bakar Syatho ad-Dimyathi. Dan murid kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathoni yang bertebaran
di seluruh pelusuk Nusantara sangatlah banyaknya.
Karangan
Sayyid Ahmad Zaini Dahlan adalah seorang ulama yang produktif Selain melahirkan para ulama beliau beliau
juga menghasilkan karangan amatlah banyaknya antaranya adalah:-
1. al-Futuhatul Islamiyyah;
2. Tarikh Duwalul Islamiyyah;
3. Khulasatul Kalam fi Umuri Baladil Haram;
4. al-Fathul Mubin fi Fadhoil Khulafa ar-Rasyidin;
5. ad-Durarus Saniyyah fi raddi ‘alal Wahhabiyyah;
6. Asnal Matholib fi Najati Abi Tholib;
7. Tanbihul Ghafilin Mukhtasar Minhajul ‘Abidin;
8. Hasyiah Matan Samarqandi;
9. Risalah al-Isti`araat;
10. Risalah I’raab Ja-a Zaidun;
11. Risalah al-Bayyinaat;
12. Risalah fi Fadhoilis Sholah;
13. Shirathun Nabawiyyah;
14. Mukhtasor Jiddan, Syarah Ajrumiyyah;
15. Fathul Jawad al-Mannan;
16. al-Fawaiduz Zainiyyah Syarah Alfiyyah as-Sayuthi;
17. Manhalul ‘Athsyaan;

Setelah menaburkan jasanya di Makkah, Saiyyid Ahmad bin Zaini Dahlan al-Hasani berangkat ke kota
Madinah, kerana suasana di kota Makkah kurang aman dan beliau wafat di kota Madinah pada 1304H/1886M
dan dimakamkan disana. Semoga Allah sentiasa mengasihi dan merahmati Sayyid Ahmad Zaini Dahlan al-
Hasani.

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: